Sunday, 18 March 2012

Surat Kiriman Rasmi - Memohon Penajaan Bagi Membiayai Perbelanjaan Kursus Motivasi dan Kempimpinan Pengawas


Pengerusi Badan Pengawas,
Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara,
47810 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.
_____________________________________________________________________________

Encik Muhd Malik Bin Yasin,
Syarikat Bekalan Alat Tulis Malik
Jalan Kekwa 7/18, Taman Idaman,
67891 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan                                                                            29 FEBRUARI 2012
                                                                                                                            
Tuan,
Memohon Penajaan Bagi Membiayai Perbelanjaan Kursus Motivasi dan Kempimpinan Pengawas

Merujuk perkara di atas, saya sebagai Pengerusi Badan Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10, Kota Damansara bercadang untuk mengadakan kursus motivasi dan kepimpinan kepada pengawas-pengawas di sekolah ini. Oleh sebab itu, saya ingin memohon kepada pihak tuan untuk memberikan penajaan bagi membiayai perbelanjaan kursus motivasi dan kepimpinan pengawas yang bakal diadakan ini. Kursus yang julung-julung kalinya diadakan ini merupakan program utama Badan Pengawas sekolah pada tahun ini.
2.         Untuk pengetahuan tuan, kami bercadang untuk mengadakan kursus motivasi dan kepimpinan pengawas di sekolah sahaja bagi mengurangkan perbelanjaan yang diperlukan kerana tambang pengangkutan tidak perlu diambil kira. Kursus ini akan diadakan selama tiga hari, dua malam iaitu dari 10 Mac hingga 12 Mac 2012. Waktu pendaftaran akan bermula pada pukul lapan sehingga sembilan pagi. Seterusnya, bilangan pengawas yang akan menyertai kursus ini adalah seramai 50 orang dan diiringi oleh lapan orang guru yang terdiri daripada empat orang guru perempuan dan empat orang guru lelaki. Tambahan pula, bilangan ahli urus setia adalah seramai tiga orang dan bilangan ahli fasilitator pula adalah seramai lima orang untuk mengawasi semua modul dan perjalanan kursus ini.
3.         Kursus yang akan diadakan ini amat penting dan bermakna kepada kami kerana kursus ini akan membentuk sifat-sifat peribadi yang positif dalam diri setiap pengawas seperti bersifat amanah, berdisiplin, bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas, di samping memupuk sifat tegas dalam diri setiap pengawas sekolah, dan menepati masa kerana masa itu emas. Selain itu, kursus ini juga bertujuan untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi organisasi EXCO pengawas sekolah agar menjadi lebih teratur dan sistematik. Melalui kursus ini juga, pegawas-pengawas di sekolah ini akan dapat merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain dan memupuk sikap bekerjasama, bak kata pepatah bagai aur dengan tebing. Hal ini demikian kerana pelbagai aktiviti berkumpulan akan diadakan sepanjang kursus ini dijalankan yang memerlukan kerjasama antara ahli kumpulan. Mereka juga akan lebih bersemangat dan yakin dalam melaksanakan tugas masing-masing untuk menjaga keamanan sekolah.
4.        Walau bagaimanapun, kami mempunyai masalah kekurangan wang bagi membiayai perbelanjaan kursus motivasi dan kepimpinan pengawas ini. Jika masalah ini berterusan kami terpaksa membatalkan kursus ini. Untuk makluman pihak tuan, pihak PIBG sekolah telah menyumbangkan wang sebanyak RM500 tetapi wang itu masih tidak mencukupi. Kami juga telah mengadakan pelbagai jualan seperti menjual makanan dan minuman pada waktu rehat untuk mengumpul lebih banyak wang. Di samping itu, terdapat beberapa orang guru yang telah memberikan sumbangan kepada kami untuk menjayakan kursus ini. Namun, wang itu masih tidak mencukupi dan saya ingin memohon kepada pihak tuan untuk menyumbangkan wang sebanyak RM2000. Wang itu akan digunakan untuk membayar urus setia, fasilitator, dan pakar motivasi yang datang dari luar. Selain itu, wang itu juga akan digunakan untuk menyediakan makanan dan minuman serta aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sepanjang kursus ini. Oleh itu, saya berharap agar pihak tuan bermurah hati untuk menghulurkan sumbangan kepada kami agar matlamat program ini dapat direalisasikan.
5.        Sepanjang perkhemahan ini, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dirancang oleh pihak kami untuk dijalankan. Aktiviti tersebut termasuklah kawad kaki. Aktiviti sebegini membawa pelbagai maslahat kepada diri pelajar. Hal ini demikian kerana aktiviti ini dapat meningkatkan tahap kedisiplinan dalam diri para pengawas yang terlibat. Nilai ini harus ada dalam diri para pengawas supaya pelajar-pelajar yang lain akan mengikut jejak langkah mereka dan seterusnya dihormati oleh para pelajar yang lain. Kami juga sudah merancang untuk membayar pihak konsultan untuk menyampaikan motivasi kepada kami tentang cara untuk membina jati diri yang baik sebagai pengawas contoh. Motivasi ini amat penting untuk memberi kesedaran kepada para pengawas bahawa peraturan sekolah amat penting untuk memastikan keamanan sekolah dijamin bersama. Motivasi ini juga akan dapat membantu pengawas untuk mengurangkan wabak ponteng sekolah yang semakin  berleluasa dalam diri pelajar. Selain itu, kami juga merancang untuk mengadakan malam kebudayaan. Malam kebudayaan adalah suatu aktiviti untuk para pengawas menunjukkan bakat yang terpendam di dalam diri mereka. Aktiviti ini dapat menanam sifat keyakinan tinggi dan kreatif. Di hujung program ini pula pihak kami akan mengadakan pertandingan 'explorace'. Aktiviti ini bertujuan untuk menguji daya tahan fizikal dan mental para pengawas yang terlibat seiring dengan semangat kesukanan yang bakal dipupuk dalam program ini. Selain itu, aktiviti sebegini dapat megeratkan hubungan silaturahim sesama ahli kumpulan.
6.     Kerelaan hati tuan-puan untuk menaja program kami akan dapat mengurangkan beban guru-guru kami untuk menjadi konsultan dan urus setia program ini. Hal ini demikian kerana kami akan dapat membayar pihak luar untuk menjadi konsultan dan urus setia program kami ini. Tambahan pula, kami juga akan dapat melakukan pelbagai aktiviti yang menarik seperti yang telah kami rancangkan. Seterusnya, kami juga akan dapat menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi sepanjang program ini dijalankan dengan adanya dana yang mencukupi. Kejayaan program ini dijalankan bakal dapat memberi natijah yang baik terhadap para pelajar dan sekolah. Undang-undang sekolah akan dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selanjutnya membina sebuah institusi pendidikan yang mantap.
7.      Saya selaku Pengerusi Badan Pengawas Sekolah, amat berharap agar pihak tuan sudi  untuk menghulurkan sumbangan kepada kami bagi menjalankan program kami ini. Bantuan tuan-puan akan dapat merealisasikan matlamat program kami untuk melahirkan individu pengawas yang berkaliber dan efektif pada masa akan datang. Bantuan tuan amat dihargai oleh kami. Tanpa adanya sokongan anda kami tidak akan dapat untuk menjalankan program ini seperti yang dirancang.
8.         Saya amat berharap semoga permohonan penajaan bagi membiayai perbelanjaan kursus motivasi dan kepimpinan pengawas daripada syarikat tuan mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Kerjasama tuan dalam perkara ini amatlah saya hargai dan saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian.
Yang benar,


AHMAD

( AHMAD MURAD BIN ABDULLAH )
Pengerusi Badan Pengawas,
Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10, Kota Damansara.




Ahli kumpulan: Yasmin, Aimi, Nurul Ain, Nurain, Priscilla, Shahrul

No comments:

Post a Comment