Wednesday 9 January 2013


Rakyat malaysia masih lagi janggal dengan perkataan bangunan hijau atau green building. Apakah yang dimaksudkan dengan bangunan hijau? Adakah ia membawa manfaat atau memberi kemudaratan kepada kita?

Sebenarnya, bangunan hijau adalah bangunan yang mempraktikkan kepentingan alam semula jadi bermula dari lakaran pembinaan, operasi, selenggara sehingga peringkat pengubahsuaian. Tujuan utama teknologi ini dibangunkan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia akibat daripada kepesatan pembangunan.

Bangunan hijau memberi tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah. Penciptaan bangunan hijau adalah merupakan suatu inovasi baru yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada alam sekitar, malah juga kepada ekonomi. Ini dilihat dengan ketara melalui penjimatan sumber tenaga yang digunakan.
Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kos operasi dan memulihara alam sekitar. Bukan itu sahaja, kesan kos operasi yang rendah juga dapat meningkatkan nilai hak milik bangunan tersebut.

Bangunan hijau mempunyai kawalan suhu dan ventilasi terhadap peningkatan pencahayaan. Ini merupakan salah satu kebaikan yang dimiliki oleh bangunan hijau. Hasilnya, ia dapat menjaga kesihatan penghuni di dalam bangunan tersebut daripada sinaran ultra, masalah kesihatan yang berpunca daripada ketidakstabilan suhu persekitaran dan pendedahan sinaran ultra yang berbahaya.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia telah mempunyai bangunan hijau semenjak tahun 2005. Bangunan ini dikenali sebagai nama GTower yang terletak di Jalan Tun Razak berhampiran dengan KLCC. Ia telah mendapat pengiktirafan sebagai Green Mark Gold dari Building and Construction Authority of Singapore (BCA) kerana ciri-ciri bangunan ini bukan sahaja mengagumkan, malah ia menitikberatkan kepentingan alam sekitar di dalam struktur pembangunannya.

Pencapaian ini diharapkan dapat menarik lebih ramai  pemaju hartanah untuk lebih bersikap prihatin dan mempunyai kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar dan pembangunan mampan. Pembangunan yang mesra alam lebih tinggi nilainya berbanding dengan bangunan biasa, di samping dapat menjaga alam sekitar.






No comments:

Post a Comment