Thursday 21 February 2013

BM: JENIS-JENIS AYAT


Analisis ayat (jenis-jenis ayat)

1)AYAT PENYATA
Definisi:
 1. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud untuk menyatakan atau menerangkan sesuatu hal.
2. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan.
Ayat contoh:
a) Pelajar-pelajar sedang  mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
b) Normah tidak pergi ke sekolah pada hari ini.
c) Dia suka menonton rancangan televisyen.
d) Datuk sedang berehat di ruang tamu.
e) Kami sekeluarga akan melancong ke Taiwan.
 
2) AYAT SERUAN
Definisi:
1. Ayat seruan ialah ayat yang digunakan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, gembira, sakit, benci dan sebagainya.
2. Tanda seru (!) biasanya diletakkan pada akhir ayat seruan.
3. Ayat seruan didahului oleh kata seru seperti amboi, wah, eh, oh, aduh, cis dan sebagainya.
Ayat contoh:
a) Amboi, cantiknya gadis itu!
b) Wah, mahalnya baju ini!
c) Oh, aku lupa bawa wang hari ini!
d) Cis, berani kamu pukul saya!
e) Syabas, kamu telah menang!





3) AYAT TANYA
Definisi:
1. Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
2. Terdapat dua jenis ayat tanya, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
3. Tanda soal (?) diletakkan pada akhir ayat dalam tulisan.
Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
1. Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata.
2. Dalam tulisan, nada tanya ini ditandai dengan tanda soal (?).
Ayat contoh:
a)  Adik masih belum makan?
b)  Pertandingan perbahasan itu akan diadakan minggu hadapan?
c)   Bas itu sudah bertolak?



Ayat Tanya Dengan Kata Tanya
1) Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, bila, mana, bagaimana dan sebagainya.
Ayat contoh:
a) Barang itu apa?
b) Pemain piano itu siapa?
c) Hari jadi kamu bila?
2) Dalam bentuk tulisan, ayat-ayat tanya ini perlu menerima partikel "-kah" dan diletakkan di hadapan ayat.
Ayat contoh:
a) Apakah barang itu?
b) Siapakah pemain piano itu?
c) Bilakah hari jadi kamu?


4) AYAT PERINTAH
1. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
2. Ayat perintah terdiri daripada empat jenis, iaitu:
a) Ayat Suruhan
- Minumlah teh ini dahulu.
b) Ayat Larangan
-  Jangan petik bunga itu.
- Usah bermain di tepi jalan.
- Tak usah kau campur tangan dalam hal saya.
c) Ayat Silaan
- Silalah pakai topi keledar.
- Jemput makan bersama-sama.
d) Ayat Permintaan
- Minta anda semua bersabar.
- Tolong ambilkan saya secawan air.


Wednesday 9 January 2013


Rakyat malaysia masih lagi janggal dengan perkataan bangunan hijau atau green building. Apakah yang dimaksudkan dengan bangunan hijau? Adakah ia membawa manfaat atau memberi kemudaratan kepada kita?

Sebenarnya, bangunan hijau adalah bangunan yang mempraktikkan kepentingan alam semula jadi bermula dari lakaran pembinaan, operasi, selenggara sehingga peringkat pengubahsuaian. Tujuan utama teknologi ini dibangunkan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia akibat daripada kepesatan pembangunan.

Bangunan hijau memberi tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah. Penciptaan bangunan hijau adalah merupakan suatu inovasi baru yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada alam sekitar, malah juga kepada ekonomi. Ini dilihat dengan ketara melalui penjimatan sumber tenaga yang digunakan.
Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kos operasi dan memulihara alam sekitar. Bukan itu sahaja, kesan kos operasi yang rendah juga dapat meningkatkan nilai hak milik bangunan tersebut.

Bangunan hijau mempunyai kawalan suhu dan ventilasi terhadap peningkatan pencahayaan. Ini merupakan salah satu kebaikan yang dimiliki oleh bangunan hijau. Hasilnya, ia dapat menjaga kesihatan penghuni di dalam bangunan tersebut daripada sinaran ultra, masalah kesihatan yang berpunca daripada ketidakstabilan suhu persekitaran dan pendedahan sinaran ultra yang berbahaya.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia telah mempunyai bangunan hijau semenjak tahun 2005. Bangunan ini dikenali sebagai nama GTower yang terletak di Jalan Tun Razak berhampiran dengan KLCC. Ia telah mendapat pengiktirafan sebagai Green Mark Gold dari Building and Construction Authority of Singapore (BCA) kerana ciri-ciri bangunan ini bukan sahaja mengagumkan, malah ia menitikberatkan kepentingan alam sekitar di dalam struktur pembangunannya.

Pencapaian ini diharapkan dapat menarik lebih ramai  pemaju hartanah untuk lebih bersikap prihatin dan mempunyai kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar dan pembangunan mampan. Pembangunan yang mesra alam lebih tinggi nilainya berbanding dengan bangunan biasa, di samping dapat menjaga alam sekitar.






Saturday 21 April 2012

Cadangan Pembukaan Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),
Kawasan Pedu,
Pejabat ADUN Kedah,
Wisma Darul Aman,
05150 Alor Star,
Kedah Darul Aman.

Ketua Setiausaha,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,
No.18, Persiaran Perdana, Presint 2,
62652 Putrajaya.                                                                                             21OKTOBER 2010
 
Tuan,
Cadangan Pembukaan Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
Dengan segala hormatnya saya ingin mencadangkan pembukaan kawasan industri kecil dan sederhana di kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Pedu. Perkara ini sewajarnya dipertimbangkan kerana kekurangan  aktiviti ekonomi berasaskan IKS yang dapat  memberikan impak kepada penduduk setempat.
2.0  Untuk makluman pihak tuan, kawasan N10 Dewan Undangan Negeri Pedu tidak berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan kawasan lain dalam persaingan ekonomi. Kawasan yang saya wakili itu serta kawasan-kawasan di sekitarnya memerlukan suntikan dana dalam usaha menjana  pembangunan ekonomi yang lebih berdaya saing dan bersepadu. Dalam  oblisasi  menyahut seruan kerajaan agar masyarakat di kawasan pedalaman diajak untuk bergiat aktif dalam pertumbuhan ekonomi, justeru sesuatu prakarsa yang proaktif hendaklah dilaksanakan segera. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, saya mewakili rakyat di Pedu mencadangkan agar pihak kementerian mewujudkan  zon IKS di kawasan ini. Rasional cadangan tersebut adalah berdasarkan mangkin yang efektif berikut:
2.1  Pedu yang letaknya dalam Parlimen Padang Terap merupakan kawasan yang paling luas dalam negeri Kedah. Ada banyak tanah kosong milik kerajaan yang berdaya maju untuk diimplementasikan dalam pembangunan negara. Sebahagian besar tanah kosong itu  terletak berhampiran dengan laluan utama yang bakal dibangunkan, iaitu Lebuh raya Alor Star-Durian Burung. Selain tanah milik kerajaan, tanah milik swasta yang ditanami getah dan ladang tradisional yang sudah tidak jelas hala tujunya  boleh dimajukan semula sebagai tapak IKS.
           
2.2   Masyarakat setempat yang terlalu mengharapkan peluang pekerjaan amat menantikan pembangunan zon IKS di kawasan ini. Pada masa ini, kebanyakan penduduk khususnya wanita terpaksa berulang-alik hingga ke Pulau Pinang untuk bekerja dalam sektor perkilangan. Dengan tumbuhnya IKS di sini, pihak pengusaha tidak akan mati kutu mencari tenaga kerja sama ada tenaga kerja separuh mahir atau operator pengeluaran. Selain penduduk setempat, penduduk dari kawsan sekitar, iaitu dari Kota Setar, Kubang Pasu, dan Baling juga bakal membekalkan tenaga kerja.
2.3 Mutakhir ini, terdapat masih ramai lagi pelapis negara yang sedang menuntut ilmu sama ada dalam peringkat menengah mahupun universiti di sekitar Pedu ini. Para graduan dan lulusan sekolah yang darah masih setampuk pinang dalam bidang pekerjaan ini amat mengharapkan pembukaan IKS untuk mereka mula mengorak langkah dalam mencapai aspirasi mereka. Dengan terbangunnya pusat-pusat perindustrian dan perniagaan baru di kawasan pedalaman, kita dapat mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke kawasan metropolitan. Perpindahan mereka dalam skala yang besar menyebabkan kawasan bandar dan kawasan metropolitan tepu dengan penduduk bagai sardin dalam tin. Oleh itu, langkah memajukan kawasan pedalaman merupakan usaha yang pragmatis dalam mengurangkan pelbagai kemelut sosial di kawasan bandar.
2.4  Aktiviti IKS di kawasan ini akan mendapat suntikan bahan mentah yang banyak dan murah melalui 
Skim Satu Kampung Satu Produk (1K1P). Aktiviti ini diimplimentasikan selaras dengan dasar kerajaan untuk mempopularkan produk tempatan . Getah , hasil-hasil  hutan , buah-buahan, sayur-sayuran serta ternakan berpotensi tinggi  untuk dibangunkan sebagai produk hiliran dalam IKS . Hasil-hasil keluaran domestik tidak akan terbiar begitu sahaja apabila usaha mempelbagaikan pengeluarannya dijalankan dengan meluas kerana industri pengeluaran bahan-bahan makanan masih mendapat pasaran yang luas . Deduksinya , segala hasil tempatan dapat dimajukan dengan usahasama antara kerajaan dan rakyat .
 
2.5  ketiadaan aktiviti sosioekonomi yang progresif merupakan faktor kelembapan kawasan pedalaman . Oleh hal yang demikian ,  kawasan yang selama ini sepi dan lengang akan hidup kembali melalui aktiviti pemprosesan dan perniagaan dengan wujudnya beberapa zon IKS .bidang perniagaan yang lain turut berkembang  terutama sekali pertumbuhan bandar baru dan kawasan petempatan baru apabila tumbuh zon industri di kawasan tersebut . wajah perkampungan tradisional yang selama ini diteduhi oleh pokok-pokok getah tua bakal digantikan dengan premis-premis kilang dan deretan kedai dapat diubah dengan perkembangan positif seperti sektor perniagaan seperti penyediaan makanan dan pengangkutan akan berkembang maju serentak dengan aliran masuk tenaga kerja.

2.6 pihak kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan sedang berusaha  keras membuka satu lagi pintu masuk di sempadan Thailand, iaitu Durian Burung dalam daerah Padang Terap Sebagai langkah susulan untuk memajukan kawasan ini .  satu rangkaian lebuh raya yang menghubungkan Alor Star, Kubang Pasu, Baling, dan Sik sedang rancak dijalankan . Pembinaan lebuh raya tersebut merupakan urat nadi yang paling ampuh untuk menyokong pertumbuhan sektor ekonomi dan sosial di kawasan ini . menjelang akhir tahun 2010 nanti , saya dengan penuh yakin bahawa pihak pelabur akan berpusu-pusu datang untuk memulakan perniagaan di sini apabila segala prasarana dan infrastruktur siap dilaksanakan .

3.0 Saya berkeyakinan penuh pihak kementerian tidak menghadapi sebarang keraguan untuk memberikan peruntukan yang secukupnya dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar  berdasarkan beberapa potensi seperti yang telah saya kemukakan di atas .Kawasan ini yang sudah sekian lama terperuk dalam lingkaran kemiskinan sebagai akibat ketiadaan peluang pekerjaan bakal dibebaskan dengan langkah proaktif pihak tuan untuk memajukan kawasan ini . Oleh hal yang demikian, saya bagi pihak masyarakat tempatan mengalu-alukan sebarang usaha untuk memajukan kawasan DUN Pedu.
 
Sekian, terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Yang menjalankan tugas,
Ahmad Fuad
(AHMAD FUAD MARZUKI)
ADUN Pedu.
Kumpulan Merah Jambu: Izzati,Natasya,Mysara,Najmi,Zuhair,Sem.

Saturday 24 March 2012

Persatuan Penduduk Kampung Balduri,
13200 Kepala Batas,
Seberang Perai Utara,
Pulau Pinang.

Yang Dipertua,
Majlis Bandaraya Pulau Pinang,
Tingkat 4-8, No.88,Jalan Sutera Putih,
Pulau Pinang.                                                                 23 FEBRUARI 2011. 

Tuan,

Memohon Bantuan Banjir yang Berlaku di Kampung Balduri.

Berhubung perkara diatas,saya selaku Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Balduri ingin membuat rayuan tentang permohonan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan kampung ini.Dukacita dimaklumkan bahawa,kampung kami dibarahi banjir kilat yang telah meranapkan sebahagian daripada kepunyaan penduduk Kampung Balduri.

2.  Terdapat pelbagai bahana yang mengundang kepada berlakunya banjir di kawasan kami.Antara faktor yang menyebabkan banjir berlaku ialah hujan lebat yang turun secara tidak henti-henti selama 3 hari.Hal ini demikian telah menyebabkan paras air memuncak dari hari ke hari.Sementelahan itu, longkang yang tersumbat akibat longgokan sampah- sarap oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Hal ini telah menyebabkan kuantiti air meningkat secara mendadak dan tidak dapat dikawal serta tidak dapat mengalir dengan lancar lalu penambahan air yang berlebihan ini bertakung di kawasan Kampung Balduri .Kendatipun,isu ini telah dibuat aduan kepada pihak berkuasa,namun mereka hanya memilih bulu serta bersikap individualistik persis enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing.Mereka hanya menutup mata dan memekakkan telinga. Banjir juga telah berlaku akibat daripada sistem perparitan yang lemah . Perkara ini sering menjadi punca utama kejadian banjir yang telah beberapa kali berlaku di sini. Hanya gara-gara sistem perparitan yang tidak terancang dan kurang teratur,penduduk-penduduk Kampung Balduri terpaksa berputih mata dengan pelbagai kemusnahan dan kerugian yang harus dihadapi.Selain itu, terdapat sesetengah kilang dan ladang ternakan sengaja dibina berhampiran dengan sungai. Tujuannya adalah untuk memudahkan mereka membuang sisa buangan termasuk sisa toksik ke sungai. Hasil buangan tersebut bukan sahaja mencemarkan sungai malah mendapan sisa tersebut akan menyebabkan sungai menjadi cetek. Akibatnya, air sungai akan melimpah setiap kali hujan lebat yang turun tanpa henti untuk tempoh yang lama.Walaupun kami sudah melaporkan kejadian ini kepada pihak pengurus kilang,namun mereka tidak mengambil sebarang prakarsa sederap.

 3.  Banjir kilat yang melanda Kampung Balduri telah menimbulkan beberapa natijah negatif.Banjir tersebut juga mempunahranahkan harta penduduk.Beberapa buah rumah ditenggalami air akibat kenaikan paras air yang mencecah 4 meter.Mangsa-mangsa terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk menyelamatkan nyawa mereka.Sementara ini,mereka dihantar ke Dewan Serbaguna yang terletak di kawasan tertinggi kampung ini.Selain itu, harta benda dan prasarana di Kampung Balduri turut binasa bagaikan padang jarak,padang terkukur.Tamsilnya,mesin pencuci,pakaian,televisyen,dan meja telah rosak.Bekalan air serta elektrik tidak sempurna di sesetengah kawasan kampung ini.Dari segi ekonomi pula,penduduk kampung terpaksa menggulung tikar kerana periuk nasi mereka turut serta musnah dalam kejadian tragis ini.Hasil pertanian seperti padi sawah,bawang merah,jagung,dan sebagainya telah rosak akibat terendam dalam air banjir bagi jangka masa yang panjang.Seterusnya,para petani mengalami kerugian dek kerana hasil pertanian mereka musnah kerana kawasan pertanian ditenggelami air.

 4.  Bukan itu sahaja,tidak dapat dinafikan bahawa nasib mangsa bagai sudah jatuh ditimpa tangga kerana penduduk kampung juga mengalami impak yang lebih serius iaitu penduduk terdedah kepada wabak penyakit yang kian menular yang dibawa oleh air banjir yang dicemari dengan pelbagai kotoran.Misalnya,Kolera,demam denggi,malaria,taun,dan chikungunya.Kami juga dimaklumkan bahawa salah seorang penduduk dimasukkan ke wad kecemasan(ICU) kerana penyakit demam denggi yang sudah berlarutan.Penduduk Kampung Balduri terpaksa bergadai nyawa dari hari ke hari.Bagaimana jikalau paras air naik tanpa surut?.Bukan sahaja akan menyebabkan penyakit malah akan mengakibatkan maut.Kondisi kampung kini menyukarkan penduduk untuk mendapatkan rawatan daripada institusi perubatan.Banjir kilat juga telah menjadi gandal kepada kanak-kanak untuk menuntut ilmu di sekolah.Segala kemudahan awam di sekolah telah musnah.Oleh itu,pihak sekolah telah memberikan surat makluman kepada para ibu bapa tentang trajedi ini.Anak-anak diminta supaya mendapatkan pendidikan di sekolah lain bagi sementara waktu.Akhir sekali,barangan keperluan harian seperti beras dan pakaian tidak mencukupi kerana permintaannya begitu tinggi sehingga melampaui bekalan yang dihantar oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).Yang paling signifikan dalam kehidupan seharian ialah keperluan harian yang mencukupi tetapi apakah yang mampu kami lakukan sekiranya tiada barangan keperluan harian?.

 5.  Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah,geruh tak berbunyi,malang tidak berbau tetapi penduduk yang tinggal sehelai sepinggang ini amat memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan di alam fana ini. Disebabkan implikasi buruk fenomena alam yang hadir luar jangkaan, saya selaku wakil Kampung Balduri ingin merayu bantuan tuan agar dapat meringankan beban kami di sini ibarat hulurkan tangan,ringankan beban. Lebih-lebih lagi, penduduk Kampung Balduri ada yang terdiri daripada warga emas. Penduduk Kampung Balduri memerlukan dan mendambakan bantuan dari segi kewangan, makanan, minuman, dan tempat tinggal sementara amatlah diperlukan. Begitu juga dengan bekalan perubatan bagi merawat kecederaan-kecederaan kecil, bahan-bahan untuk pembinaan rumah, dan beberapa sukarelawan yang dapat bersama-sama berganding bahu dalam membersihkan kawasan perumahan kami. Maklumlah, tiada kehidupan yang bebas daripada onak dan duri. Di samping itu, manusia diwujudkan dengan tujuan untuk saling menolong tatkala susah mahupun senang dan sesungguhnya setiap budi yang mulia yang dilakukan akan dibalas dengan sesuatu yang lebih baik. Kami juga sudah habis akal dalam mencari inisiatif-inisiatif baharu untuk memulihkan keadaan di Kampung Balduri. Oleh sebab itu, bantuan tuan amat kami hargai.

 6. Sinergi daripada pihak tuan sungguh vital demi memuncakkan oligasi penduduk sekali gus dapat meminimakan beban serta kesusahan yang dihadapi oleh marhaen Kampung Balduri.Tambahan pula,pihak tuan haruslah menguatkuasakan reglemen agar pihak pengusaha kilang dan penternak yang terbabit lebih bertanggungjawab. Sikap mementingkan habuan dan kesenangan diri harus dikikis. Mereka sepatutnya membuang sisa kilang dan sampah sarap di tempat pelupusan yang ditetapkan, bukannya disalirkan ke sungai. Sekiranya sikap tidak bertanggungjawab ini masih berterusan, tindakan menamatkan operasi kilang atau ladang ternakan tersebut hendaklah diambil.Kata orang tua-tua,di sebalik malapetaka ada hikmatnya,iaitu seantero negara memperlihatkan perikemanusian dengan menghulurkan bantuan kepada kami yang ditimpa musibah.

 7.  Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mempertimbangkan permohonan ini dengan segera agar keselamatan dan kesihatan penduduk Kampung Balduri akan terjamin.Kerjasama dan jasa baik daripada pihak tuan amat kami hargai dan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

 Sekian,terima kasih. 

Yang benar,

 ………………………….
(KUNING BT KARANGAN)
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan,
Kampung Balduri.